PUTRAJAYA –  Perbuatan memuat naik gambar kertas undi merupakan satu kesalahan, kata  Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed  Baria.
Beliau  menggulas perbuatan beberapa pengguna laman sosial yang memuat naik  gambar kertas undi yang akan digunakan oleh pengundi pos bagi Pilihan  Raya Umum ke-13.
Berikutan  itu, SPR sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah  Putarajaya hari ini, katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.
“Selain  untuk menjaga nama baik dan intergriti SPR, laporan dibuat bagi  membolehkan polis menjalankan siasatan, selaras Akta 574 Kanun Keseksaan  (Pindaan) 1997,” katanya.
Kamaruddin bagaimanapun menafikan gambar kertas undi yang dipaparkan dalam beberapa laman sosial itu adalah daripada sumber SPR.
“Selepas  pihak polis menjalankan siasatan, barulah SPR menentukan tindakan yang  akan diambil terhadap individu yang didapati memuat naik gambar  berkenaan, biar polis buat siasatan dulu,” katanya.
SPR sudah  mengeluarkan kertas-kertas undi pos dalam negara kepada pengundi yang  layak mengundi melalui pos mulai 22 April lepas, sementara pengundi pos  luar negara dihantar pada Rabu.
Kategori  mereka yang layak mengundi melalui pos dalam negara terdiri daripada  anggota tentera dan polis yang bertugas di perbatasan atau pun yang  terlibat dalam operasi, petugas media dan petugas SPR.
Kategori  pengundi pos luar negara pula membabitkan rakyat Malaysia di luar negara  dan Pengundi Tidak Hadir (PTH), yang terdiri penjawat awam yang  berkhidmat di pejabat perwakilan dan pelajar sepenuh masa.
Selain  itu, SPR turut menafikan maklumat yang disebarkan dalam laman sosial  yang menyebut proses pengundian awal bagi kategori pengundi yang layak,  telah dilaksanakan semalam (23 April), sebaliknya, menegaskan pengundian  awal hanya dijalankan pada 30 April.
“Perbuatan  itu sekadar untuk mengelirukan orang ramai dan berharap orang ramai  jangan mempercayai berita tersebut, jika ada sebarang pertanyaan dan  kekeliruan, hubungi SPR untuk penjelasan,” katanya.
Mengenai  nama calon yang tertera pada kertas undi, Kamaruddin berkata nama yang  dicetak tidak semestinya mengikut nama pada kad pengenalan seseorang  calon itu.
“Sebelum kertas undi dicetak calon diberikan peluang untuk menulis nama apa yang perlu dicetak pada kertas undi.
“Sebagai  contoh, jika seseorang calon itu lebih dikenali oleh para pengundi di  kawasan dia bertanding dengan nama Ustaz Kamarudin maka boleh tulis nama  itu dalam kertas undi,” katanya. – BERNAMA
Iklan Teks: 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments:
Post a Comment